Sekurang-kurangnya 60 orang maut dalam dua serangan berasingan di wilayah Oromiya yang dilanda konflik minggu lalu, lapor Reuters memetik Gereja Ortodoks Ethiopia.
Pihak gereja dilapor berkata, semua mangsa yang maut adalah penganut Kristian, namun tidak memberikan perincian lanjut mengenai bagaimana mereka mati atau siapa yang bertanggungjawab di sebalik serangan terbabit.
Kerajaan wilayah Oromiya dan satu sumber dikaitkan dengan pakatan pemberontak yang sedang bertempur dengan pasukan kerajaan di wilayah Tigray di utara saling menuding jari antara satu sama lain berhubung serangan itu.
Holy Synod Gereja Ortodoks Tewahedo Ethiopia dilapor berkata, 14 penganut maut di Merti Woreda pada 20 Oktober, manakala 46 di Sherka Woreda pada 24 Oktober.
Lebih 20 rumah turut dibakar, dan lebih 20 orang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan parah, lapor Reuters memetik kenyataan gereja itu yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut Reuters, kerajaan wilayah mendakwa pakatan pemberontak melancarkan serangan itu dengan tujuan mencetuskan konflik agama, tanpa disertakan bukti.
Sebaliknya, sumber dikaitkan dengan pakatan pemberontak itu, lapor Reuters, mendakwa kerajaan wilayah Oromiya yang melakukan pembunuhan terbabit, memetik perbualan dengan dua penduduk lokal.
Menurut Reuters, kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Oromo (OLA), yang sebelum ini dipersalahkan oleh kerajaan wilayah atas serangan terhadap penganut Kristian Ortodoks, tidak memberikan maklum balas segera apabila diminta mengulas.
OLA dikatakan satu daripada tujuh kumpulan bersenjata yang mengumumkan bulan lalu bahawa mereka telah membentuk satu pakatan dengan matlamat untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Abiy Ahmed.

