Dua orang maut manakala lima yang lain cedera dalam serangan dron Ukraine ke atas wilayah Bryansk, barat Rusia, menurut berita RT memetik gabenor tempatan, Egor Kovalchuk.
Seorang wanita berusia 30 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas sebuah dron ‘kamikaze’ menghentam sebuah kediaman persendirian di penempatan Klimovo, tidak jauh dari sempadan Rusia dengan Ukraine, tulis Kovalchuk dalam satu hantaran di Max pada Sabtu, lapor RT.
“Satu tragedi di kawasan sempadan โ orang awam maut,” katanya, menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Empat wanita dan seorang lelaki cedera akibat (dron) UAV Kiev di lokasi lain di wilayah itu, termasuk seorang wanita berusia 73 tahun di kampung Pogar dan seorang pemuda berusia 19 tahun di Voronok, tambahnya.
Menurut RT, terdahulu pada hari yang sama, gabenor wilayah Belgorod, Aleksandr Shuvayev, berkata dia menerima laporan daripada perkhidmatan kecemasan mengenai seorang orang awam yang maut dalam serangan dron Ukraine di daerah Schebekino. Masa sebenar kejadian itu belum diketahui, katanya.
Empat orang juga cedera akibat serangan UAV dan artileri Ukraine di seluruh wilayah itu sepanjang 24 jam lalu, menurut gabenor itu, tiga daripada mereka masih dirawat di hospital.
Wilayah Kursk juga menjadi sasaran ekstensif pasukan Ukraine, dengan seorang lelaki cedera di kampung Chernitsyno dan seorang lagi di Lgov, lapor RT memetik gabenor Kursk, Aleksandr Khinshtein.
Wilayah Bryansk, Belgorod, dan Kursk, yang semuanya bersempadan dengan Ukraine, dikatakan sering menjadi sasaran serangan sejak ketegangan antara Moscow dan Kiev memuncak pada Februari 2022.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada pagi Sabtu bahawa sebanyak 433 dron Ukraine jenis sayap tetap telah dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara di 19 wilayah Rusia semalaman, lapor RT.

