Angka korban akibat serangan udara Jordan di wilayah Daraa, selatan Syria, meningkat kepada tujuh orang pada Isnin, susulan penafian kerajaan Syria terhadap dakwaan Jordan bahawa serangan itu telah diselaraskan terlebih dahulu, menurut berita Xinhua memetik laporan media kerajaan Syria.
Khaled al-Amyan, ketua Direktorat Kesihatan Daraa, dilapor memberitahu agensi berita kerajaan Syria, SANA, bahawa mangsa yang maut membabitkan tiga kanak-kanak, tiga lelaki, dan seorang wanita, manakala tiga orang lagi mengalami kecederaan.
Al-Amyan dilapor memberitahu stesen televisyen kerajaan Syria, Al-Ikhbariya, bahawa pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian sekiranya terdapat mangsa lain, dan jumlah korban muktamad masih belum dapat dipastikan.
Xinhua melaporkan, dalam satu kenyataan, kerajaan Syria berkata mereka sedang memantau perkembangan susulan serangan udara Jordan itu, sambil menegaskan bahawa operasi itu dijalankan tanpa sebarang penyelarasan awal dengan pihak berkuasa Syria.
Menurut berita Xinhua, Kementerian Luar Syria secara berasingan berkata ia telah menyampaikan bantahan keras kepada Jordan berhubung operasi ketenteraan yang dijalankan di dalam wilayah Syria tanpa penyelarasan terlebih dulu.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Am bagi Pelabuhan dan Kastam Syria dilapor mengumumkan lintasan sempadan Nasib dengan Jordan akan ditutup pada Selasa, dengan mengambil kira situasi keselamatan dan perkembangan semasa di wilayah Daraa.
Terdahulu pada Isnin, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan serangan udara telah menyasarkan beberapa lokasi di Daraa dan wilayah jiran, Sweida, termasuk kawasan dekat al-Muzayrib, Nasib, dan lapangan terbang tentera Khalkhalah.
Angkatan Tentera Jordan mengesahkan telah melancarkan serangan udara terhadap apa yang disifatkan sebagai tempat persembunyian pengganas di selatan Syria, lapor Xinhua memetik agensi berita rasmi Jordan, Petra.
Tentera Jordan dilapor berkata, operasi yang dinamakan “Penghalang-Hmoud Jordan” (Jordanian Deterrence-Hmoud) itu dijalankan dengan penyelarasan bersama kerajaan Syria—satu dakwaan yang dinafikan secara tegas oleh Damsyik.
Jordan dilapor berkata, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap satu serangan maut semasa upacara pengebumian di sebuah gereja di kegabenoran Karak pada Jumaat, dengan mendakwa bahawa pihak bertanggungjawab mempunyai kaitan dengan pertubuhan militan yang beroperasi di selatan Syria.
Tentera Jordan menambah bahawa beberapa suspek militan telah terbunuh atau cedera, dan lokasi serta peralatan telah dimusnahkan, tanpa perincian mengenai korban, lapor Xinhua.
