Enam maut dalam nahas helikopter semasa dalam perjalanan dari tapak suci di India

·

Nahas helikopter di negeri Uttarakhand, utara India, mengorbankan semua enam orang yang berada di dalamnya, termasuk juruterbang, menurut kenyataan pegawai pada Jumaat, lapor berita RT.

Helikopter milik Trans Bharat Aviation Private Limited, dengan tanda panggilan VT-HCX, dalam perjalanan dari Badrinath di daerah Chamoli menuju ke Dehradun apabila hubungan dengannya terputus pada kira-kira pukul 1:15 petang waktu standard India (IST), lapor RT.

Helikopter itu terhempas di lereng bukit, kata pegawai tempatan.

“Kami telah menerima berita malang mengenai nahas helikopter dekat kampung Chayee, dekat Joshimath,” Ketua Menteri Pushkar Singh Dhami mengatakan di X, menurut RT, Joshimath adalah pekan pergunungan yang dianggap suci di kawasan Garhwal Himalaya.

Tentera India dan pasukan penyelamat tempatan telah dikerahkan ke lokasi nahas, lapor RT, pentadbiran daerah Chamoli kemudian mengesahkan kematian semua individu yang berada di dalam helikopter terbabit.

Lima penumpang di dalam helikopter itu dari negeri Karnataka di selatan India. Juruterbangnya, Kapten Himanshu Sabharwal, dari Delhi, lapor RT memetik laporan.

Hujan lebat dan jarak penglihatan yang terhad dilaporkan berlaku di kawasan terbabit, yang kini diletakkan di bawah amaran “jingga” oleh Jabatan Meteorologi India (IMD). IMD meramalkan ribut petir, hujan batu, dan angin kencang yang disertai hujan lebat di banyak kawasan di negeri pergunungan Himalaya yang bersempadan dengan China dan Nepal itu.

Tapak ziarah Badrinath, lokasi helikopter terbabit berlepas, adalah sebahagian daripada laluan ziarah ‘Char Dham’ bersama-sama dengan Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri. Para peziarah sering menggunakan perkhidmatan helikopter untuk mengelakkan perjalanan mendaki gunung yang sukar di sepanjang laluan.